Majlis Bahasa Melayu Singapura logo

Bulan Bahasa 2023: Meningkatkan Cinta Terhadap Bahasa Kita

Bulan Bahasa akan kembali dilaksanakan mulai dari 13 Ogos hingga 9 Oktober, dan hal ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2023, Cik Rahayu Mahzam, pada sesi taklimat rakan kerjasama di Wisma Geylang Serai pada hari Rabu, 1 Mac yang lalu. Bulan Bahasa 2023 bertemakan “Cita, Citra, Cinta Bahasa Kita” dan menggalakkan rakan kerjasama untuk menciptakan idea-idea kreatif dan nilai tambah untuk melestarikan cinta terhadap bahasa.

Terdapat harapan daripada Jawatankuasa Bulan Bahasa 2023 untuk melibatkan lebih banyak rakan kerjasama seperti sekolah, kumpulan seni tempatan, badan Melayu/Islam dan badan akar umbi untuk mempertingkatkan rasa cinta masyarakat terhadap bahasa dan menyatukan masyarakat melalui bahasa. Pihak Jawatankuasa Bulan Bahasa 2023 juga berharap dapat menjangkau golongan yang belum pernah turut serta dalam acara Bulan Bahasa seperti anak muda, belia dan karyawan.

Pengasas kumpulan-kumpulan seni tempatan, Encik Afi Hanafi dari Orkestra Sri Temasek, PermaiSuara dan Syairpura, mengulas bagaimana kumpulan seni dapat menjangkau golongan yang belum turut serta dalam program Bulan Bahasa. Beliau menyatakan bahawa penggiat seni dan seniman perlu bekerjasama dengan badan luar seni seperti kelab masyarakat dan penganjur Bulan Bahasa untuk mengembangkan cabang seni budaya seperti syair dan sastera kepada golongan yang belum pernah turut serta.

Sesi taklimat itu turut menampilkan beberapa reruai bagi rakan kerjasama mengetahui lebih lanjut tentang dana-dana yang tersedia untuk mereka menganjurkan kegiatan dan program sempena Bulan Bahasa. Pertubuhan beri dana yang menyokong Bulan Bahasa 2023 termasuk Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS); Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC); Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB); dan Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC).

Pertubuhan yang berminat menganjurkan program dan kegiatan Bulan Bahasa 2023 boleh menghantarkan cadangan program dari 1 Mac hingga 3 April 2023. Oleh itu, mari kita bersama-sama memeriahkan Bulan Bahasa 2023 dengan mencintai dan memperkasakan bahasa kita.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.